Saturday, April 4, 2009

Ceramah Ajar Pelajar Cara Mengawal Stress

Media Permata: Rabu, 1April 2009.


Oleh Hajah Saemah Zulkefli

KUALA BELAIT, Selasa - Lebih 30 orang di kalangan pelajar Menengah Lima Sekolah Menengah PJN Pengiran Haji Abu Bakar Mumong menyertai Program Ceramah Mengawal Stres diadakan di sekolah itu hari ini.

Program tersebut anjuran Jabatan Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling sekolah berkenaan antara lain bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada pelajar Menengah Lima mengenal pasti dan mengetahui punca, risiko dan langkah mengawal stres selain untuk memberikan kesedaran kepada mereka mengenai pentingnya mengawal stres ketika menghadapi peperiksaan.

Penceramah jemputan bagi program yang pertama kali diadakan itu ialah Pegawai Jururawat Jabatan Psikiatri Rumah Sakit Pengiran Isteri Anak Saleha Bandar Seri Begawan Pengiran Haji Sabtu Pengiran Haji Tuah.

Ceramah itu juga adalah projek promosi kesihatan mental yang diadakan secara bulanan oleh jabatan berkenaan dan akan diteruskan sehingga tahun 2013.

Antara lain ceramah itu mengandungi serba ringkas pengajaran tip peperiksaan ke arah kejayaan yang cemerlang, selain penyediaan awal penuntut untuk sentiasa mempersiapkan diri ke arah menghadapi peperiksaan dan mengetahui cara mengendalikan perasaan tertekan sepanjang berada di sekolah dan semasa menduduki peperiksaan.

Ceramah itu juga boleh membantu guru dalam pengendalian penuntut yang dikenal pasti lemah dan belum bersedia untuk menghadapi peperiksaan dan juga mengajar penuntut untuk sentiasa beriman sebagai pegangan yang kukuh menjurus ke arah segala kecemerlangan dalam hidup.

Antara tip teknik belajar yang betul yang ditekankan melalui ceramah tersebut ialah menggunakan flip chart, belajar secara berkumpulan, muzik ringan, berjadual dan bersistematik sementara persediaan yang perlu ada semasa hendak menghadapi peperiksaan ialah tidur yang cukup selama enam hingga lapan jam, mengambil sarapan pagi untuk membekalkan tenaga badan dan berfikir, solat sunat memanjatkan permohonan kepada Allah dan membawa bersama peralatan yang lengkap untuk peperiksaan.

No comments:

Post a Comment