Saturday, February 28, 2009

Kursus Asas Pembimbing dan Pemimpin Rakan Sebaya

Media Permata, 27 Feb 2009, Jumaat

Para pelajar yang menyertai kursus Asas Pembimbing dan Pemimpin Rakan Sebaya.
Oleh Hjh Saemah Zulkefli


KUALA BELAIT, Khamis - Kira-kira 20 orang pelajar terdiri di kalangan pelajar Tahun Lapan, Menengah Empat dari 10 buah sekolah daerah Belait dan Tutong menyertai Kursus Asas Pembimbing/Pemimpin Rakan Sebaya (PRS) 2009 yang berlangsung di Sekolah Menengah PJN Pengiran Haji Abu Bakar dekat sini.

Kursus selama dua hari itu dibukakan untuk penyertaan pelajar-pelajar di Sekolah Menengah dan Maktab Zon C di kedua-dua buah daerah berkenaan yang dikendalikan oleh Bahagian Bimbingan Bakat Kerja dan Kaunseling, Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan dan juga Kaunselor-Kaunselor Sepenuh Masa.

Kursus asas PRS merupakan salah satu aktiviti bantuan bimbingan dan sokongan yang berorientasikan perkembangan kendiri dan ia adalah atas daya usaha dan inisiatif daripada para kaunselor sepenuh masa sekolah menengah Zon C dengan kerjasama BKBBK.

Dengan adanya aktiviti seperti itu adalah diharapkan dapat memberi khidmat pertolongan kepada pihak sekolah, guru-guru dan pelajar-pelajar serta dapat menyediakan saluran berkesan untuk PRS memberi khidmat bimbingan kepada rakan-rakan lain selaras matlamat program untuk membantu pelajar PRS yang yakin diri dan mempunyai nilai-nilai murni.

Di samping itu program bertemakan Remaja Menuju Kedewasaan juga turut bertujuan membina pasukan PRS yang terlatih memberikan pertolongan kepada rakan-rakan mereka, serta bagi melatih mereka untuk mempunyai kemahiran yang membolehkan mereka berinteraksi dengan berkesan bersama-sama dengan rakan-rakan lain dan berupaya merancang program ke arah pembentukan sahsiah yang berketerampilan.

Antara tajuk-tajuk ceramah yang diberikan sepanjang kursus tersebut antaranya ialah Ciri-Ciri Kepimpinan PRS, Asas-Asas Kemahiran Komunikasi, Asas-Asas Kemahiran Kaunseling, Kesedaran Kendiri, Latihan Kelompok dan selain tajuk seperti Perkembangan Remaja dan Isu-Isu Remaja.

Hadir di majlis itu dan seterusnya menyampaikan sijil penyertaan di hari penutup kursus tersebut hari ini ialah Pemangku Bahagian Kaunseling dan Bimbingan Bakat Kerja, Dayang Hajah Gambar Haji Gapar.

No comments:

Post a Comment