Friday, March 6, 2009

INFO UNTUK GURU-GURU & PENUNTUT - LOCAL NEWS

Media Permata,
5 Mac 2009

Peranan Perpustakaan Penting dalam SPN-21
Oleh Nurul Hayatee Badaruddin

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu - Persatuan Perpustakaan Brunei dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei hari ini mengadakan Taklimat Sistem Pendidikan Negara Abad ke-21 (SPN-21) di Dewan Samaryuda Dewan Bahasa dan Pustaka.

Pemangku Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dayang Hajah Aminah Haji Momin ketika berucap berkata dalam perkembangan dan perubahan pendidikan di negara ini, perpustakaan mengambil peranan penting untuk sama-sama mendukung keperluan semasa bagi pelajar.

Ini dilakukan dengan menyediakan koleksi buku bacaan dan rujukan yang lebih komprehensif sejajar dengan kehendak pengajaran dan pembelajaran masa kini yang dibahagikan mengikut program tertentu termasuk program pendidikan khas.

Menurutnya pustakawan perlu mempunyai pengetahuan dan berinovasi dalam menilai dan menyediakan buku yang bersesuaian di perpustakaan masing-masing yang merangkumi lapan bidang pembelajaran seperti bahasa, matematik, sains, sains sosial dan kemanusiaan, kesenian dan kebudayaan, teknologi, pendidikan agama Islam dan Melayu Islam Beraja, pendidikan jasmani dan kesihatan.

Beliau berkata dengan memenuhi penyediaan buku berkenaan terutama di perpustakaan sekolah pihak sekolah tidak akan tertinggal dalam memenuhi kehendak dan keperluan semasa.

"Perubahan itu akan dapat memenuhi keperluan dan cabaran perkembangan pembangunan ekonomi dan sosial abad ke-21 negara ini serta pencapaian Wawasan Brunei 2035 untuk memiliki rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya," kata beliau lagi

Beliau juga menyatakan Dewan Bahasa dan Pustaka dari semasa ke semasa akan berusaha untuk mencapai matlamat SPN 21 di samping menyediakan ruang belajar yang kondusif di perpustakaan pusat dan cawangan di keempat-empat daerah.

Tujuan sesi taklimat berkenaan adalah untuk memberi pendedahan kepada semua pustakawan dan pegawai yang bertugas di perpustakaan supaya mengetahui objektif dan prinsip SPN-21 kerana sistem pendidikan baru itu memberi kesan terhadap perpustakaan dan pembelajaran masyarakat negara ini

Taklimat berkenaan disampaikan Pegawai Pelajaran Kanan Jabatan Sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan, Awang Jenidi Jingan, Pemangku Penolong Pengarah Jabatan Perkembangan Kurikulum Kementerian Pendidikan, Haji Abd Rahman Haji Nawi dan Pegawai Perpustakaan Jabatan Sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan, Pengiran Haji Shahminan Pengiran Haji Sulaiman.

Antara kandungan taklimat itu ialah tujuan SPN-21, visi dan misi Kementerian Pendidikan, rasional pendidikan dan kebaikan SPN-21

Seramai 100 dan kakitangan dari kementerian, institusi dan sekolah kerajaan serta swasta hadir pada taklimat berkenaan.

_________________________________________________________
PESANAN:

'ISIKAN WAKTU CUTI DENGAN BERKUNJUNG KE PERPUSTAKAAN SAMBIL MENGIKUTI AKTIVITI-AKTIVITI YANG DISEDIAKAN'
BRUNEI BOLEH!
PJN BOLEH!

No comments:

Post a Comment