Thursday, June 25, 2009

Pemeriksaan Suhu Badan Semua Murid Mulai Isnin

MEDIA PERMATA: Khamis, 25 Jun 2009


Oleh Imelda Farrah Zohre HA

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu - Kementerian Kesihatan hari ini mengumumkan akan memulakan pemeriksaan suhu badan di kalangan pelajar sekolah di seluruh negara apabila penggal persekolahan baru dibuka semula pada Isnin ini.

Langkah terbaru itu diambil ekoran pengesahan empat lagi kes Influenza A (H1N1) hari ini yang membawa jumlah keseluruhan di negara ini kepada 11 kes.

Kementerian dalam kenyataan berkata kes kelapan melibatkan wanita berumur 23 tahun yang mula mendapat tanda penyakit pada 18 Jun setelah berkunjung ke Kuala Lumpur, Malaysia pada 12 Jun dan pulang ke negara ini pada 15 Jun.

Kes kesembilan pula membabitkan kanak-kanak perempuan berumur 9 tahun yang baru pulang dari melawat negeri Johor, Malaysia pada 19 Jun dan mula menunjukkan tanda-tanda penyakit pada 22 Jun.

Sementara kes ke-10 dan ke 11 pula adalah kontak terdekat kes keempat.
Kes ke-10 membabitkan kanak-kanak lelaki berumur 6 tahun yang mula mempunyai tanda penyakit pada 23 Jun manakala kes ke-11 pula adalah kanak-kanak perempuan berumur 5 tahun yang mula menunjukkan tanda penyakit pada 22 lalu.

Semua pesakit berkenaan termasuk tujuh mangsa yang dilaporkan sebelum ini dalam keadaan yang baik dan masih menjalani rawatan di Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Tutong.

Kementerian Kesihatan serta agensi yang terbabit akan mempertingkatkan usaha untuk mengawal penyakit itu, tambah kenyataan.

Antara langkah yang diambil Kementerian Kesihatan ialah menggalakkan pengurangan aktiviti dan interaksi sosial secara sukarela selama tujuh hari bagi mereka yang baru pulang dari luar negara.

Kementerian juga mengehadkan penghantaran pegawai dan kakitangan ke luar negara bagi menghadiri latihan dan mesyuarat serta memastikan pusat kuarantin sentiasa mencukupi dan sentiasa berada dalam keadaan siap sedia.

Selain itu Kementerian Kesihatan terus menasihatkan orang ramai untuk segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan kesihatan sekiranya mempunyai tanda penyakit terutamanya jika baru kembali dari luar negara

No comments:

Post a Comment